Kekuatan sebuah pertubuhan politik atau parti banyak bergantung pada sokongan generasi muda. Mereka ini adalah tenaga penting yang memainkan peranan kea rah kejayaan dan kekuatan sesebuah parti politik. Banyak parti politik di Negara ini bergantung kekuatannya pada generasi muda. Tanpa generasi muda parti tersebut tidak bermaya dan pemimpinnya tidak mahu bersuara.
Generasi muda juga penentu masa depan sesebuah kerajaan pada masa depan. Oleh itu setiap parti politik dikatakan cuba memenangi hati pengundi terutama generasi muda yang dianggarkan 4 juta pengundi baru menjelang PRU 13 yang akan datang.
Pemikiran dan pandangan generasi muda pada masa kini berubah-ubah mengikut situasi semasa berkaitan politik. Mereka lebih memandang parti mana yang boleh menjamin masa depan mereka dalam bidang pelajaran, pekerjaan dan juga ekonomi.
Justeru, kekuatan sesebuah pasukan dalam parti akan menentukan kejayaan dalam PRU ke-13. Usaha memenangi pemikiran, hati dan persepsi generasi muda sangat penting dalam mengekalkan kekuatan sesebuah parti. Ini diakui kerana tenaga, pemikiran dan strategi banyak bergantung pada kekuatan generasi muda.
Dalam hal ini, setiap parti menggunakan pelbagai strategi ‘’serampang dua mata” malah ada “serampang tiga mata” bagi menarik sokongan generasi muda menyokong parti tersebut. Dalam politik strategi sangat penting bagi kejayaan sesebuah parti terutama bagi memenangi pilihanraya.
Generasi muda pada masa kini banyak menumpukan perhatian, aktiviti dan pemikiran melalui media baru. Parti yang Berjaya menggunakan media baru sebagai strategi akan dapat menarik lebih ramai golongan muda.
Senjata paling ampuh bagi menarik golongan ini adalah melalui tarikan oleh generasi muda juga.
Masalah yang dihadapi generasi muda pada masa kini adalah untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang lebih baik. Usaha mengatasi pengangguran akan dapat menarik lebih ramai generasi muda menyokong parti yang dapat menyelesaikan masalah mereka.
Tidak ada pelaburan yang lebih baik melainkan menyediakan peluang pekerjaan, keselesaan hidup dan peluang masa depan yang lebih cerah kepada golongan ini. Generasi muda hari ini adalah pemimpin pada masa akan datang. Berikan sedikit ruang dan peluang untuk generasi muda bersuara.
Cita-cita, impian dan harapan generasi muda mestilah difahami dan dihayati oleh setiap pemimpin pemuda jika ingin menawan hati generasi muda. Merekalah yang seharusnya faham akan kehendak dan arah tuju golongan ini dalam politik.
Ingatlah, tiap-tiap generasi baru lebih maju daripada generasi sebelumnya. Tiap-tiap generasi mempunyai kekuatan pada zamannya. Ilmu dan kemahiran dalam politik juga sangat penting. Generasi baru inilah yang akan membentuk, menentukan dan memperkasa sesuatu bangsanya.
CREDIT: DR AMINUDIN MANSOR-UKM