
KEPALA BATAS, 10 Sept -- Umno Pulau Pinang Sabtu menggesa kerajaan negeri mengkaji semula pengharaman aktiviti jet ski dan belon udara di kawasan pantai dengan mengambil kira kepentingan semua pihak yang terlibat.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Zainal Abidin Osman berkata kerajaan negeri sepatutnya memikirkan kepentingan 12 pengusaha aktiviti berkenaan yang mengalami kerugian dan kira-kira 200 pekerja yang hilang sumber pendapatan ekoran tindakan itu.
"Tindakan itu juga memberi kesan kepada kemasukan pelancong. Mereka mungkin tidak mahu lagi datang ke Pulau Pinang kerana tiada lagi sukan air," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian dermasiswa Bank Persatuan 2011 di sini, hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri sepatutnya mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan, bukannya mengambil tindakan mudah dengan mengharamkan aktiviti berkenaan apabila timbul sebarang masalah.
"Pada saya langkah kerajaan Pulau Pinang kurang tepat dan kurang wajar. Tak tahulah dari mana kerajaan negeri dapat nasihat.
"Sepatutnya mereka memikirkan langkah yang lebih bijaksana seperti mengambil langkah pencegahan, menyediakan garis panduan dan melaksanakan penguatkuasaan bagi mengelak sebarang kemalangan," katanya.
Laporan akhbar menyebut pengharaman aktiviti berkenaan berikutan beberapa kemalangan yang berlaku di kawasan Batu Ferringhi dan Tanjung Bungah baru-baru ini.