NIBONG TEBAL 9 Feb. - Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda)
memperuntukkan RM17 juta untuk membina 140 unit rumah berkembar mampu
milik di Taman Pancur Utama, dekat sini.
Projek membabitkan kawasan seluas 4.4 hektar itu dimulakan sejak Oktober tahun lalu dijangka siap pada April 2014.
Pengerusi Perda, Datuk Azhar Ibrahim berkata, projek tersebut
dilaksanakan tanpa membebankan rakyat kerana dijual dengan harga antara
RM170 hingga RM200,000 sebuah.
Beliau berkata, Perda tidak membina rumah mewah kerana memahami
tanggungjawab sosial untuk membolehkan rakyat negeri ini memilik rumah
mampu milik.
"Kita bukan macam kerajaan DAP negeri mahu membina rumah mampu milik
kepada rakyat dengan harga RM400,000 seunit, ini semua janji palsu Ketua
Menteri, Lim Guan Eng untuk rakyat.
"Macam mana dia nak bina rumah kalau Bajet 2013 itu tidak dibentangkan
dalam sidang Dewan Undangan Negeri yang lalu. Ini semua pembohongan
untuk menipu rakyat kerana pilihan raya sudah dekat," katanya dalam
sidang akhbar selepas melancarkan projek perumahan tersebut di sini
semalam.Yang hadir sama Pengurus Besar Perda, Saringat Hassan.
Azhar yang juga Ketua Pembangkang berkata, sejak mentadbir negeri ini
pada 2008 tidak pernah Guan Eng membentangkan bajet untuk pembinaan
rumah mampu milik di negeri ini.
Sementara itu, beliau berkata, Perda sedang berunding dengan kerajaan
untuk membina Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Ara Kuda, Tasek
Gelugor tidak lama lagi.
Menurutnya, Perda mempunyai tanah seluas 102.4 hektar untuk tujuan itu.
"Kita masih dalam perbincangan dengan PR1MA kerana tanah itu dibeli
Perda dan PR1MA juga perlu membayar kos bagi projek tersebut.
"Hal ini berbeza dengan kerajaan negeri Perak, Johor dan Pahang yang
mempunyai tanah untuk ditawarkan secara percuma kepada PR1MA," ujarnya.
No comments:
Post a Comment