Ramai orang telah bercakap dan menyentuh tentang isu Penjualan Tanah di
Kampung Terang yang melibatkan sekeping tanah dan dua pemimpin UMNO
iaitu Dato Omar Fauzar dan Dato Musa. Difahamkan mereka adalah pemilik
Miliion Crest Sdn. Bhd., iaitu syarikat yang telah membeli tanah
tersebut.
Saya memerhati perkembangan berkaitan perkara ini sejak ianya mula di
timbulkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang dan Dato’ Speaker yang juga
merupakan Ketua PKR Cabang Balik Pulau. Kemudiannya disambut oleh
pemimpin-pemimpin PKR dan PAS Balik Pulau lainnya. Dan terakhir sekali
telah disentuh lagi oleh pemimpin DAP semasa lawatannya ke Rumah Berhala
Lam Thean di Sg Ara Bayan Lepas pada 11 Ogos. Lapuran yang diterima
memaklumkan bahawa antara kandungan ucapan beliau telah membidas dua
orang pemimpin UMNO yang telah menipu rakyat dengan membeli tanah milik
orang Melayu dan mengaut keuntungan sebanyak RM 5.00 juta dalam tempoh
3.5 bulan.
Beliau antara lain telah menyeru kepada para hadirin untuk menolak UMNO
kerana pemimpin UMNO sanggup menipu bangsa sendiri dan mereka tidak
akan membela kaum lain. Jika benar ungkapan itu, ianya adalah satu
kenyataan yang berniat jahat dan memberi gambaran yang melampau tentang
UMNO yang sebenarnya mensasarkan kepada kepimpinan Melayu di negeri ini.
Sebagai pemimpin kecil dikawasan ini, saya rasa saya perlu bersuara dan
menulis diblog ini. UMNO yang menunjangi kepimpinan Barisan Nasional
bukan ditubuhkan untuk menipu bangsa sendiri dan jauh sekali untuk
menginayai kaum lain.
Sebagai pemimpin tempatan tentulah saya amat terasa dengan kenyataan
yang dibuat. Lebih-lebih lagi ianya berkaitan dengan isu yang begitu
berat yang saya pandang dan dekat dihati saya. Seringkali saya
mengingatkan anggota masyarakat di Balik Pulau ini supaya tidak menjual
tanah-tanah mereka yang mereka warisi. Telah berulangkali saya
menekankan bahawa kita hanyalah sebagai pemegang amanah keatas
tanah-tanah yang di wariskan kepada kita. Tanah-tanah tersebut adalah
untuk anak-anak dan seterusnya cucu-cucu kita.
Apapun yang kita lakukan, sebarang tindakan yang kita ambil, kita
hendaklah memikirkan natijah yang akan menimpa generasi akan datang.
Walau apapun yang saya katakan dan lakukan, saya sedar bahawa saya tidak
akan dapat menghalang para pewaris untuk tidak menjual tanah mereka,
kerana itu hak mereka. Mereka bebas menjualnya ataupun mengadainya.
Apa yang tidak dapat saya terima adalah seringkali bebanan serta
kesalahan menjual tanah itu diletakkan sepenuhnya keatas UMNO dan
seterusnya pemimpin UMNO walaupun yang menjual tanah itu bukan UMNO,
bukan ahli UMNO, dan hanyalah seorang Melayu yang tentunya mempunyai
sebab untuk menjualnya. Cuba lah kita berlapang dada dan berfikir
sejenak.
Apakah UMNO dan pemimpin dapat menghalang si pewaris daripada menjual
tanah mereka? Apakah PAS atau PKR atau DAP dan pemimpin mereka dapat
menghalang pemilik daripada menjual hak mereka ? Soal menjual atau tidak
adalah tertanggung diatas pewaris-pewaris. Kalau mereka sudah membuat
keputusan, sepatutnya kita menghormati keputusan mereka dan bukannya
meletakkan keputusan mereka itu sebagai satu kesalahan kepada orang
lain, dalam hal ini UMNO dan pemimpinnya..
Ketua Menteri atau Ketua Cabang atau Yang diPertua PAS setempat atau
Ahli Majlis atau Ahli Parlimen baru empat tahun ini berada ditampuk
kuasa pemerintahan negeri dan mereka itupun bukanlah sepenuhnya menjadi
rujukan masyarakat untuk menyuarakan masaalah mereka seharian. Memang
mudah untuk mereka menunding jari menyalahkan siapa sahaja asalkan bukan
mereka dan menabur janji. Cukup-cukuplah dengan sikap menunding jari
yang sebenarnya tidak mendatangkan faedah kepada sesiapa.
Keputusan untuk menjual yang diambil oleh semua pewaris adalah kerana
mereka menghadapi masaalah untuk mengagihkan hak dan panggu mereka yang
ramai itu dalam bentuk agihan hartanah.
Maka tentulah kecairan asset lebih mudah, dan dengan menjual tanah dan
mengagih wang perolehan hasil jualan adalah jauh lebih mudah berdasarkan
kepada peratusan hak atau panggu mereka. Tanah itu pula dijual dengan
cara perbincangan dan dipersetujui bersama (willing buyer and willing
seller). Tidak ada paksaan dalam persetujuan itu. Bukankah itu adalah
kaedah yang terbaik berbanding dengan percubaan pihak kerajaan negeri
yang mahu mengambil tanah orang kampong yang dipertahankan
habis-habisan. Amatlah tidak wajar untuk mengatakan penduduk ditipu.
Tetapi kalau sudah diniatkan untuk mencetuskan rasa benci dan permusuhan
maka kenyataan ‘telah menipu itu’ telah berjaya mencapai tujuan ianya
dicanangkan. Jika sudah diniatkan untuk melahirkan rasa permusuhan dan
kebencian sesama anggota masyarakat, maka kenyataan bahawa UMNO tidak
menjaga bangsa Melayu maka jangan harap untuk menjaga bangsa lain,
adalah satu telahan politik yang jahat. Adapun keuntungan yang dibuat
itu pulak adalah selepas transaksi kedua dibuat.
Perubahan kenaikan harga tidak perlu menunggu 3.5 bulan tetapi boleh
mencapai nilai baru dan masa seminggu sahaja. Kita harus tahu dan sedar
bahawa nilai harga tanah dikawasan Balik Pulau ini tidak ada jadual yang
khusus. Kadar jualan adalah lebih berdasarkan kepada penjualan dan
pembelian secara sukarela dan suka sama suka. Sudah ramai orang tengah
yang mendapat keuntungan dalam urusniaga tanah dikawasan ini.
Diwaktu para pewaris berasa gembira dan bersyukur kerana ada orang
Melayu membeli tanah mereka, orang politik pula mengambil kesempatan
untuk menjadikanya agenda politik untuk menjatuh imej dan maruah satu
pihak yang lain. Dikala para pewaris berjaya menikmati wang hasilan
jualan tanah yang mereka warisi untuk digunakan bagi tujuan yang
berfaedah dan memenuhi keperluan semasa mereka, orang politik pula
berusaha untuk meraih populariti sokongan politik.
Yang paling menyedihkan lagi, sesama sebangsa bertelagah mengikut
gendang yang dialunkan oleh orang yang cuba memecah-belahkan sesama
kita. Aneh kan ?, kita lebih rela bermasan muka sesama sendiri diatas
isu yang sebenarnya boleh menyatupadukan kita. Cuba lihat sendiri, dalam
bagitu banyaknya projek perumahan mewah yang dibuat, berapa ramaikah
pemaju Melayu – hanya 1 sahaja. Ada orang ketawa melihat kita
bertelagah. Lagi teruk kita bertelagah, lagi seronok mereka. Ada orang
ke bank mengira untung, kita pula sebok kekedai kopi mengira berapa
banyak kita boleh menjatuh sesama kita.
Ada perkara yang boleh kita politikkan, tapi janganlah semua benda kita
hendak politikkan.
Tidak adakah langsung dalam hati kita ini untuk menjadikan permasaalahan
yang dihadapi ini sebagai faktor penyatuan!
Adapun sebenarnya isu tanah Kg.Terang itu bukannya satu isu yang patut
di perbesarkan oleh Pakatan Rakyat (PR). Tetapi ianya sengaja di jadikan
isu besar untuk menutup isu sebenar yang menampakkan Kerajaan PR jelas
mahu merampas tanah milik orang kampung seperti yang berlaku pada
penduduk Kg.Genting.
Dengan tujuan untuk mengalihkan pandangan serta tumpuan terhadap
bantahan demi bantahan yang di anjurkan penduduk, maka isu tanah Tanah
Kg.Terang pun sengaja di perbesarkan mengikut citarasa Kerajaan PR yang
tak bertanggungjawab ini. Isu berkaitan dengan Kg Genting telahpun saya
jelaskan dalam penulisan sebelum ini.
“Ya Allah, satukanlah hati-hati kami dibawah payung rahmatMU dan
elakkan kami daripada berpecah-belah dalam urusan seharian kami dalam
mempertahankan Agama kami, Bangsa kami dan Tanahair kami. Jadikan bumi
Malaysia yang dihuni oleh makhlukMU yang berbagai bangsa, keturunan dan
agama anutan, sebuah negara yang aman, bahagia dan berkembang menjadi
sebuah negara maju yang didalammnya kami hidup bahagia dan bersenangan
dengan nikmatMU”
sumber: Blog Adun Pulau Betong YB Muhamad Farid Saad
No comments:
Post a Comment