GEORGETOWN: Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri mengesyaki penjualan
tanah seluas 0.45 hektar di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin oleh
Kerajaan Negeri untuk di bangunkan hospital swasta melibatkan
kepentingan peribadi Ketua Menteri, Lim Guan Eng.
Ini berikutan apabila semakan dibuat dengan kepada Pejabat Tanah Dan
Galian Pulau Pinang mendapati tanah itu masih dimiliki oleh Kerajaan
Negeri.
Ketua Penerangan Pemuda BN, H'ng Khoon Leong berkata, ekoran itu
pihaknya telah meminta peguam menulis surat kepada Pejabat Tanah Dan
Galian Pulau Pinang untuk mendapat pengesahan status tapak tanah namun
masih belum mendapat jawapan.
"Kami Pemuda BN sekarang hairan sama ada Ketua Menteri memberikan 'hak
istimewa' kepada pemaju, Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn.
Bhd. dengan mengekalkan status pemilik adalah kerajaan DAP negeri bagi
membantu pemaju mengelak membayar cukai dan tafsiran tanah.
"Pada masa sama, kerajaan DAP juga menawarkan harga yang banyak kurang
daripada harga pasaran pada tahun 2009 iaitu RM11,552,208 dengan
mengatakan harga pasaran pada masa itu ialah RM232 setiap kaki per segi
sedangkan harga pasaran sebenarnya adalah sekurang-kurangnya RM450
setiap kaki per segi sejak 2006," katanya pada sidang akhbar di Bilik
Gerakan BN, Jalan Datuk Kramat sini hari ini.
Isu tanah di Taman Manggis yang sepatutnya dibangunkan projek perumahan
rakyat (PPR) fasa kedua itu telah dibangkitkan oleh Pemuda BN pada Jun
lalu kerana tidak berpuas hati apabila tanah milik rakyat itu telah
dijual oleh kerajaan DAP negeri kepada pemaju untuk membina 19 tingkat
hotel, enam tingkat hospital dan lima tingkat tempat letak kereta.
Dalam pada itu, Khoon Leong mempersoalkan kelulusan membina Hospital
Pakar Victoria di bawah Victoria International Medical Centre Sdn Bhd
sekiranya tanah masih dimiliki Kerajaan Negeri.
Beliau seterusnya menunjukkan carta yang mendakwa Victoria International
Medical Centre Sdn Bhd dan Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn
Bhd adalah seorang individu berpangkat Datuk yang pernah dianugerahkan
Pingat Jasa Pendamai (JP) berasal dari Sabah.
"Sehubungan itu, kami mempertikaikan hubungan Guan Eng dengan Datuk
berkenaan dan mengesyaki Ketua Menteri terlibat kepentingan peribadi
dalam penjualan tapak tanah ini," dakwanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pemuda BN Oh Tong Keong mendesak Guan
Eng menjelaskan hubungan Kerajaan Negeri dengan pemaju tersebut.
Beliau turut menggesa Kerajaan Negeri dengan segera mendeklasifikasi
semua kertas dokumen mengenai penjualan tanah Taman Manggis termasuk dua
dokumen penjualan tender secara terbuka pada 10 Ogos 2009 dan 16
Februari 2010.
"Banyak soalan dah kami kemukakan dan meminta Guan Eng menjelaskan
tetapi sehingga hari ini beliau masih berdiam diri.
"Sekiranya kerajaan DAP negeri masih berbisu dan enggan mendeklasifikasi
semua dokumen kepada orang awam, maka, ia bermaksud mereka
menyalahgunakan kuasa untuk menjalankan penjualan tanah secara haram,"
katanya.
No comments:
Post a Comment