Bajet defisit selama 3 tahun bukti kerajaan DAP tak cekap urus kewangan

NIBONG TEBAL  – Pembentangan bajet defisit selama tiga tahun berturut-turut merupakan kesan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Pulau Pinang akibat memilih pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, keputusan rakyat memilih pembangkang dengan harapan mampu membawa perubahan lebih baik ternyata silap kerana mereka tidak memiliki pengalaman serta kepakaran untuk mentadbir.

Menurutnya, bajet defisit yang dicapai itu menunjukkan kerajaan DAP Pulau Pinang tidak cekap untuk mentadbir dan keadaan sedemikian jika dibiarkan berterusan akan menjadi lebih buruk kepada pembangunan.

"Keadaan ini bermakna perbelanjaan negeri termasuk hutang mengatasi pendapatan dan rakyat tidak nampak perubahan yang dibawa oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

"Secara fizikal kita tidak dapat melihat pembangunan oleh kerajaan negeri. Projek mega yang ada dibuat oleh Kerajaan Persekutuan seperti jambatan, lapangan terbang, landasan berkembar keretapi, jalan raya dan kemudahan pelajaran serta kebajikan.

"Kita sendiri tidak tahu bagaimana DAP mengurus kewangan," katanya.

Zainal Abidin ditemui pada majlis perasmian kursus haji anjuran kariah Masjid Sungai Acheh di sini pada hari Sabtu (12 Jan 2013).

Rabu lalu, Naib Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri, Tan Hing Tiek mendedahkan tentang ancaman bankrap yang sedang dihadapi Pulau Pinang ekoran pembentangan bajet defisit tiga tahun berturut-turut.

Menurut pembentangan bajet oleh kerajaan negeri pada November tahun lepas, Pulau Pinang mencatatkan bajet defisit sebanyak RM262.04 juta iaitu peningkatan RM105.93 juta berbanding bajet defisit 2011 berjumlah RM213.71 juta.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin menjelaskan, rakyat khususnya di Pulau Pinang tidak seharusnya mengambil risiko berterusan untuk memberi mandat sekali lagi kepada DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Katanya, DAP lebih sesuai menjadi pembangkang daripada pentadbir dan tempoh lima tahun mereka memerintah negeri ini sudah cukup untuk dinilai.

Posted in |

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...