Guan Eng tidak boleh tutup mulut rasis & rasuah DAP
Posted On Feb 1, 2013 at at Friday, February 01, 2013 by Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal
Bekas
Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang, Datuk Seri Mohd Fairus
Khairuddin percaya DAP tidak mampu untuk menjawab apatah lagi menyangkal
kenyataan bekas Naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim
berhubung isu rasuah dan rasis yang diamalkan parti itu.
Ini kerana tegasnya sehingga kini DAP terutama Setiausaha Agungnya, Lim
Guan Eng terus mengunci mulut walaupun isu rasuah dan rasis yang
dibangkitkan Tunku Aziz itu sudah lama berlarutan.
“Bak kata pepatah berani kerana benar, takut kerana salah. Ini belum
lagi isu kesilapan kira undi. Nampaknya DAP sudah terkena ludah mereka
sendiri.
“Mereka terutama Guan Eng boleh terus tutup mulut tapi rakyat akan terus
buka mata dan fikiran untuk menilai sejauh mana kebenaran kononnya DAP
ini satu parti yang bersih, telus dan ada akauntabiliti”, katanya kepada
UMNO-Online di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan DAP yang
sehingga kini masih berdiam diri berhubung dakwaan oleh bekas Naib
Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkenaan isu rasuah dan
rasis parti berkenaan.
Mengulas lebih lanjut Fairus seterusnya menambah DAP hanya nampak
kesalahan dan kesilapan orang lain umpama mengata kain orang koyak
tetapi kain sendiri makin terlondeh.
“Sebenarnya pelbagai pendedahan serta dakwaan oleh Tunku Aziz menjadi
bukti bahawa parti terbabit telah terkena batang hidung sendiri. Dan
seharusnya Tunku Aziz perlu mendedahkan apa lagi yang belum didedahkan
untuk kepentingan umum.
“Percayalah….bangkai jika ditutup dengan apa sekali pun ianya akan tetap
berbau dan akhirnya diketahui umum juga akhirnya. Apa yang mereka
lakukan hanyalah sekadar untuk menyembunyikan wajah hodoh mereka yang
sebenarnya,” ujar beliau.
Beliau seterusnya percaya DAP akan selamanya berdiam diri dan tidak akan
berani tampil untuk memberikan penjelasan yang sepatutnya. -MediaUMNO