Kisah sebenar pengambilan tanah Kg Genting Balik Pulau ..

Setelah hampir 2 tahun berlalu, cadangan pengambilan tanah oleh kerajaan negeri Pulau Pinang bagi tanah berkeluasan lebih kurang 100 ekar di Kampung Genting (iaitu hampir separuh dari keluasan kampung) telah mulai dilupai oleh warga kampung. 


Tiba-tiba sahaja apabila hampir luput tarikh warta pengambilan, penduduk kembali dikejutkan dengan berita pengambilan tanah yang belum selesai itu. 

Menyingkap kembali peristiwa yang telah berlaku, Pihak kerajaan negeri telah mewartakan pengambilan beberapa lot tanah Kampung Genting pada awal bulan Ogos 2010. 

Sekitar awal bulan Oktober 2010, penduduk terbabit telah mula menerima notis daripada Pejabat Daerah dan Tanah. Beberapa perbincangan telah diadakan sesama mereka mengenai hal pengambilan tanah itu dan pada 20hb. 

Oktober tahun 2010, para penduduk telah pun menghantar surat bantahan keras terhadap pengambilan tanah Kampung Genting kepada Ketua Menteri, malah beberapa orang dari mereka telah berjumpa dengan YB Dato’ Mansor Othman – TKM1. 

Mereka telah menyatakan bantahan keras mereka akan pengambilan tanah mereka oleh pihak Kerajaan Negeri. 

Ini bermakna, pihak kerajaan negeri telah maklum akan bantahan ini. Tanah itu telah di wartakan di bawah Seksyen 8 Kanun Tanah Negara. Ini bermakna pemilik tanah tidak boleh melakukan sebarang pemindahan ke atas tanah mereka sekaligus telah hilang hak ke atas tanah mereka selama 2 tahun.


Mengikut bancian, terdapat 12 pemlik tanah Melayu berkeluasan lebihkurang 44 ekar dan 10 pemilik Cina berkeluasan lebihkurang 29 ekar dan selebihnya tanah milik syarikat.

Kebanyakan pemilik tanah Melayu berkongsi tanah dengan ramai ahli keluarga. Pemilik tanah berketurunan Melayu dan Cina bersama-sama penduduk kampung telah membuat protes di kampung mereka secara aman setelah mengetahui keinginan kerajaan negeri untuk mengambil tanah mereka. 

Akhirnya, kesan daripada protes tersebut yang berterusan sebanyak 2 kali, kerajaan negeri mengambil langkah mendiamkan diri hampir 2 tahun dan secara tidak langsung memberi bayangan kemungkinan cadangan untuk membina IPTS telah dibatalkan.

Setelah hampir dua tahun berlalu, masyarakat Balik Pulau khususnya, kembali panas dengan isu pengambilan tanah di Kampung Genting. 

Semuanya berlaku selepas penduduk menerima sekeping surat daripada Pejabat Daerah dan Tanah, Daerah Barat Daya Ruj PTBD/B/315(50) bertarikh 29 Jun 2012 dan kemudiannya disusuli pula dengan surat daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Ruj : PSUKPP/05/0761/27 Klt.18 bertarikh 20 Jun 2012.

Surat dari Pejabat Derah dan Tanah itu bertajuk – Perjumpaan tuan tanah bersama YAB Ketua Menteri Pulau Pinang bagi Permohonan Pengambilan tanah untuk Tujuan Awam (Institusi Pendidikan) di Mukim J dan 7, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang. 

Sementara surat dari Pejabat SUK pula membawa tajuk Pembinaan Universiti di Genting, Balik Pulau – Asian Women Leadership University (AWLU) dibawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) Kerajaan Persekutuan.

Melalui surat tersebut, penduduk diminta untuk berjumpa dengan Ketua Menteri pada 3 Julai 2012 bertempat di KOMTAR untuk membincangkan mengenai harga yang akan ditawarkan. 

Ketua Menteri Pulau Pinang dilihat telah mengambil kesempatan untuk menawarkan tanah Kampung Genting kepada AWLU setelah cadangan untuk membina sebuah IPTS di Pulau Pinang diminta oleh pihak AWLU. Kita percaya Ketua Menteri telah mencadangkan tanah Kampung Genting kepada pihak tersebut kerana kegagalan beliau untuk mengambil tanah Kampung Genting hampir dua tahun yang lalu. 

Namun hanya 25% pemilik yang hadir. Mereka membantah tentang cadangan pengambilan tanah tersebut di atas beberapa sebab iaitu :

i. Mereka tiada tanah lain untuk berpindah dengan keluarga yang besar dan mereka memang tidak mampu untuk membeli rumah yang terlalu mahal di Balik Pulau kerana kerajaan negeri tidak pernah membina rumah kos rendah.

ii. Harga pampasan pengambilan tanah yang ditawarkan terlalu rendah iaitu RM8 ke RM10 sekaki persegi. Harga pasaran sekarang adalah dalam lingkungan RM35 ke RM40 sekaki persegi. Pemilik tanah tidak akan dapat membeli tanah atau rumah lain dengan harga pampasan yang ditawarkan kerana ianya terlalu rendah berbanding harga pasaran. Ini seolah-olah kerajaan negeri mengambil tanah mereka untuk diberikan kepada pihak swasta.

Mengikut surat dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu ( Ruj : PSUKPP/05/0761/27 Klt.18 bertarikh 20 Jun 2012), Timbalan Perdana Menteri YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyidin bin Mohd Yasin telah meluluskan sebuah Universiti Awam Antarabangsa bernama ASIAN Women Leadership University (AWLU) di Hub Pendidikan Pulau Pinang sebagai Entry Point Project (EPP). 

Penduduk tertanya apabila membaca surat tersebut. Antara persoalannya adalah : apakah benar ini sebuah universiti Awam (IPTA) yang merujuk kepada universiti milik kerajaan seperti USM, UM dan UKM? Atau sebuah universiti Swasta (IPTS) kerana surat tersebut menyatakan tentang pelaburan sebanyak RM 492.00 Juta. 

Apakah perkataan AWAM itu adalah berniat untuk mengaburi pemikiran masyarakat kampung yang kononnya kalau itu sebuah Universiti Kerajaan Persekutuan, maka penduduk akan menyokong dan kalau Universiti itu dimiliki oleh selain dari kerajaan Pusat penduduk tidak akan menyokong! 

Hakikatnya, penduduk telah dengan tegas dari awal lagi telah memaklumkan bahawa mereka tidak akan menjualkan atau menyerahkan tanah mereka kepada sesiapa sekalipun kerana mereka mahu terus memiliki dan tinggal disana. 

Sebab itulah ketika menghantar surat bantahan kepada TKM-1, mereka semua menandatangani dengan dakwat merah (simbolik kepada darah) tetapi diperlekehkan oleh YB Mansur yang mengatakan orang kampung tidak tahu menandatangani surat (sebab tidak mengunakan dakwat hitam)

Para ketiga surat itu menyatakan bahawa pihak AWLU telah mengenalpasti tanah seluas 100 ekar di Genting, Balik Pulau. Persoalannya, bagaimanakah pihak AWLU mengetahui berkaitan dengan tanah ini? Tentunya dengan maklumat dari pihak Kerajaan Negeri sendiri. 

Yang menghairankan adalah, setelah pihak Kerajaan sendiri telah tahu akan bantahan penduduk, mengapa mereka masih memaklumkan kepada pihak AWLU bahawa tanah itu boleh digunakan untuk pembinaan universiti mereka. 

Mengapa pihak kerajaan negeri tidak terus sahaja menunjukkan tanah yang telah pun dimiliki oleh mereka di Pondok Upeh (yang kini akhirnya ditawarkan kepada pihak AWLU) !

YAB Ketua Menteri dalam siding akhbarnya telah menunjukkan kepada wartawan surat daripada YB Senator Idris Jala bertarikh 12 Jun 2012 sebagai bukti bahawa projek itu adalah projek EPP (Entry Point Project) yang telah diluluskan dalam mesyuaratnya yang telah dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri. 

Tidak ada saya ayat pun yang menjuruskan kepada pemilihan Kampung Genting sebagai tapak AWLU. Tetapi, yang agak menghairankan adalah ayat terakhir surat tersebut yang menyatakan “ the above is for YAB’s information and follow-up to enable TRANSFER of 100 acres to the AWLU Malaysian Foundation”. 

Ayat ini seolah-olah memaklumkan bahawa tanah telah sedia untuk dipindah milik kepada AWLU. Tanah orang kampung Genting? Mudah benar nak pindah milik tanah orang! Atau mungkin juga pihak Kerajaan Negeri telah memaklumkan kepada AWLU dan YB Idris Jala bahawa mereka telahpun memiliki tanah Kampung Genting itu.

Pada tarikh 22 Julai 2012, pemilik tanah telah dipanggil sekali lagi ke Pejabat Daerah Barat Daya untuk berjumpa dengan Ketua Menteri. 

Dalam perjumpaan itu, Ketua Menteri telah menunjukkan sepucuk surat bahawa beliau yang telah mencadangkan kepada pihak AWLU supaya memilih tanah di tempat lain untuk pembinaan universiti tersebut. 

Ini jelas menunjukkan Ketua Menteri mahu pemilik tanah serta seluruh masyarakat di Balik Pulau memandang beliau sebagai ‘hero’ kerana mempertahankan hak orang kampung. 

Tetapi harus diingat bahawa beliau juga adalah orang yang bertanggungjawab mencadangkan tanah Kampung Genting untuk pembinaan universiti tersebut dan juga pada peringkat permulaan Seksyen 8 itu di wartakan sebelum kedatangan pihak AWLU lagi. 

Pihak AWLU sendiri yang telah menolak pengambilan tanah di Kampung Genting atas dasar prihatin tentang kesulitan yang akan timbul kesan daripada pengambilan tersebut setelah mengetahui bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang sebenarnya mahu mengambil tanah orang kampung untuk membina universiti tersebut.

Persoalannya, mengapa Ketua Menteri, Lim Guan Eng berminat sangat untuk mengambil tanah Kampung Genting padahal masih banyak lagi tanah kosong yang lebih luas di Balik Pulau ini. 

Timbul spekulasi bahawa beliau ingin mengusir penduduk tempatan secara halus dan menggantikan dengan penduduk luar yang lebih berkemampuan untuk membeli rumah kos tinggi yang sedang giat dibina di Balik Pulau.

Mungkin benar ada di antara masyarakat Cina di pulau ini yang membuat pemerhatian mengatakan “Sekarang di Pulau Pinang rumah sangat mahal. Kedai pun mahal, sewa pula terlalu tinggi…Macam mana mahu berniaga? Akhirnya penduduk asal pulau ini akan berpindah beramai-ramai ke seberang dan pulau ini akan diduduki oleh bangsa Inggeris, Jepun, Taiwan dan juga Singapura.”

Dalam sidang akhbar, dipetik dari akhbar The Star, pada 23hb. Julai, 2012, YAB Ketua Menteri berkata “ we had initially offered them the plot in Jalan Pondok Upeh, along with areas in Batu Kawan, but they rejected them and chose Kampung Genting”. 

Tetapi jika dirujuk pula kepada surat dari Setiausaha Kerajaan Negeri kepada Ms. Barba Hou, President AWLU Project bertarikh 20 July 2012 dinyatakan pula …

” Further to your request to locate the AWLU Project Campus on a site that has already been acquired by the State Government, I am pleased to confirm that there is such a site. We therefore suggest the site previously identified at Jalan Pondok Upeh, balik Pulau, Penang which will not result in any dislocation of residents and which already been acquired by and is in possession of the State Government. The site will be immediately available for the AWLU Project campus”

Kita yakin jika sekiranya dari awal lagi pihak AWLU diberikan maklumat sebenar berkaitan dengan tanah dan pendirian pemilik tanah Kampung Genting , tentunya keputusan mereka juga akan berbeza.

Kita juga berasa amat pelik apabila mendapati surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Ruj. PSUKPP/05/0762/27 Klt.18 bertarikh 20 July 2012 yang di hantar kepada Ms Barbaea Hou, President AWLU Project yang beralamat di Menara UOA Bangsar memaklumkan perkara diatas telah dibalas oleh Dato’Latifah Merican Cheong pada tarikh 20hb. July 2012 dan diterima oleh Pejabat Ketua Menteri pada 20hb. Julai 2012. 

Ketiga-tiga surat dibuat, dihantar dan diterima oleh tiga pejabat yang berlainan pada hari yang sama! Pelik tapi benar. Inilah yang dikatakan Cekap, Akauntibiliti dan Telus ala DAP.

Apapun yang berlaku telah berlaku. Kini anggota masyarakat Balik Pulau berbalah sesama sendiri mengikut siapa yang disokong. 

Kesimpulannya, telah berjayalah pihak-pihak tertentu yang mahukan perpecahan dan perbalahan berlaku dikalangan masyarakat di Balik Pulau ini. Harapan kita adalah agar Kampung Genting tidak akan berada dalam keadaan genting lagi.

Kita mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak AWLU kerana prihatin terhadap keresahan dan tidak puas hati para pemilik tanah dan juga penduduk kampung tentang pengambilan tanah oleh Kerajaan Negeri. 

Juga ucapan terima kasih ingin dirakamkan kepada Ketua UMNO Bahagian merangkap ADUN Telok Bahang YB Dato’ Seri Dr. Helmi Hj.Yahaya dan YB Tuan Syed Ameruddin ADUN Bayan Lepas kerana banyak membantu warga Kampung Genting dalam menghadapi permasaalahan yang dihadapi oleh orang kampung dalam kes ini.

Mereka turut membantu mendapatkan fakta sebenar dari pejabat YAB Timbalan Perdana Menteri dan juga dari Kementerian Pengajian Tinggi. 

Tidak pernah sekalipun wakil-wakil rakyat kita menimbulkan persoalan perkauman dalam kes ini. Adalah amat tidak wajar YAB Lim Guan Eng dalam perjumpaannya dengan wakil penduduk di Komtar yang menuduh pemimpin kami mengamalkan perkauman. 

Mereka telah lama bersama kita diwaktu susah dan diwaktu senang, maka mereka memahami hati dan perasaan masyarakat di Balik Pulau, baik Melayu mahupun Cina dan India.

Kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional sejak dari dulu lagi telah berusaha kearah menjadikan Balik Pulau sebagai hub-pendidikan antaranya pembinaan Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Maktab Rendah Sains MARA, Kolej Vokesional, SKM Pondok Upeh, Politeknik Balik Pulau dan Kampus Sementera UiTM. 

Hub-pendidikan adalah usaha berterusan kepimpinan Barisan Nasional sejak dari dulu dan bukannya sekelip mata berlaku dibawah Pakatan-DAP.

Harap perkara ini menjadi renungan dan pengajaran kepada semua pihak.


*Penulis adalah ADUN BN Pulau Betong,Balik Pulau YB Haji Muhamad Farid Haji Saad.

Posted in |

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...