Showing posts with label isu semasa. Show all posts
Showing posts with label isu semasa. Show all posts

BN memang dua pertiga DUN Sarawak: Sekali lagi impian kosong Anwar terkubur


Walaupun berdepan saingan sengit, Barisan Nasional (BN) dapat membentuk kerajaan negeri Sarawak selepas menguasai majoriti dua pertiga dalam pilihanraya negeri ke 10.

Komponen BN memenangi 55 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Jumlah itu, bagaimanapun merosot kerusi berbanding 63 kerusi yang ada sebelum ini.

Pakatan pembangkang yang optimis dapat menafikan majoriti dua pertiga BN hanya memperolehi 15 kerusi – meningatkan tujuh sebelum DUN Sarawak bubar 21 Mac lalu.

DAP memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ditandingi dan PKR pula hanya tiga kerusi daripada 49 kerusi.

Antara kawasan dimenangi DAP adalah di Bukit Assek, Dubong,Pelawan, Piasau, Pujiot dan Kidurong.

PAS yang menaruh harapan menang di DUN Beting Baro juga tewas termasuk empat kerusi lain yang ditandingi.

Satu lagi kerusi dimenangi calon Bebas George a/k Lagong di DUN Pelagus.

Bekas Adun PKR DUN Padungan, Dominique Ng kim Ho yang bertanding tiket Bebas di kawasan sama turut kecundang.

SNAP yang dijangka memberi tentangan gagal disemua 26 kerusi yang ditandingi.

Parti Cinta Malaysia (PCM) juga tewas kesemua enam kerusi yang ditandingi buat kali pertama dalam pilihanraya.

Di pihak BN pula, Ketua Menteri yang juga Presiden PBB, Pehin Sri Taib Mahmud menang di Balingian dengan majoriti 5,302 selepas menewaskan dua pencabarnya dari PKR dan Bebas.

Walaupun jadi modal utama pembangkang kerana 30 tahun jadi Ketua Menteri, majoriti beliau hanya merosot sedikit kerana pada 2006, beliau mendapat majoriti 5,726 undi.

Presiden PRS Datuk Seri James Masing menang di DUN Baleh manakala Presiden SPDP Datuk Seri Willian Mawan juga menang di DUN Pakan.

Bagaimanapun, Presiden SUPP George Chan tewas kepada calon DAP Ling Sie Kiong di DUN Piasau.

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian yang diuar-uarkan bakal Ketua Menteri baru jika pembangkang menang Berjaya memenangi kerusi Bakalalan.

Beliau menewaskan calon BN Willie Liau. PKR turut menang di DUN Batu Lintang dan Tebedu.

Pilihanraya Sarawak kali ini dianggap paling sengit dengan BN berkempen untuk Transformasi manakala pembangkang pula bercadang Ubah negeri itu.

Pasti paling menerima tamparan Ketua Pembangkang Datuk seri Anwar Ibrahim yang adakan sidang media sehari sebelum pengundian membayangkan pembangkang bersedia membentuk kerajaan baru di Sarawak tetapi semua itu hanya impian dan angan-angan kosong.

Bagi BN pula, walaupun kekal dengan majoriti dua pertiga tetapi dengan kehilangan 16 kerusi kepada pembangkang dan Bebas, ianya signal bahawa wakil rakyat yang baru dipilih perlu bekerja lebih kuat untuk kepentingan rakyat bukan individu.

Cabaran besar tentunya pada pilihanraya umum yang mungkin diadakan akhir tahun atau awal tahun depan.

Jika Transformasi gagal dilaksanakan dalam tempoh itu, dikhuatri pengundi Sarawak bersedia mengubah sokongan pada pilihanraya umum kelak.

Posted in Labels: | 13 comments

Buku Jingga. Analisis berfakta negara bankrap dalam 2 tahun saja

Saya amat teruja apabila mendapat tahu bahawa Pakatan Rakyat (PR) telah mengumumkan dasar-dasar utama ekonomi dan kerajaan mereka jika dapat menawan Putrajaya. Saya gembira kerana PR akhirnya sedar bahawa untuk memenangi hati rakyat dan untuk menjadi kerajaan Persekutuan, mereka tidak boleh lagi menggunakan pendekatan retorik semata-mata. Akhirnya mereka harus akur kepada tuntutan “two-party-system” iaitu mempersembahkan dasar-dasar alternatif yang berbeza dengan parti pemerintah.

Agaknya atas kesedaran ini, maka lahirlah Buku Jingga yang diilhamkan oleh YB Datuk Seri Anwar Ibrahim, YB Lim Kit Siang dan YB Dato Seri Abdul Hadi Awang. Kini sekurang-kurangnya rakyat dapat menilai antara keberkesanan Buku Jingga dan Model Ekonomi Baru ilham Perdana Menteri YAB Dato Sri Najib Tun Razak.

Saya sebenarnya mengharapkan satu buku yang sarat dengan hujah-hujah ekonomi yang berdasarkan fakta yang nyata. Harapan saya ternyata meleset apabila membaca 3 mukasurat yang pertama sahaja, saya agak terkejut kerana PR masih lagi menggunakan berbagai-bagai label dan ungkapan-ungkapan retorik untuk mencemuh BN. Antaranya: selamatkan Malaysia, noda hak rakyat, rasuah, salahguna kuasa, bolot, tidak peduli, mengekang, tidak berjiwa rakyat, krisis parah, perkauman, durjana, pudar, ketinggalan, meraba-raba, bongkak, pentingkan sendiri, mundur, merudum, penderitaan, ketirisan, songsang, hambar, menunggang, lemah, kemelut, malap, gelap, ketakutan dan kabur.

Sebagai penyokong BN, saya hampir saja membuang Buku Jingga kedalam tong sampah kerana kecewa dengan retorik politik berlebihan yang tidak kena pada tempatnya.

Saya faham tentang politik. Setiap parti akan cuba sedaya upaya untuk mendapat pulangan politik terhadap apa saja yang mereka lakukan. Itu tidak salah kerana itulah lumrah politik. Tetapi dalam hal ini PR sepatutnya belajar daripada BN. Contohnya dalam dokumen Model Ekonomi Baru yang merangkumi Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan, tidak ada satu ayat pun yang memperlekehkan pembangkang. Semuanya ditulis dengan rasa keinsafan dan kesedaran bahawa Model Ekonomi Baru adalah milik semua rakyat Malaysia, tidak kira apa pegangan politik mereka. BN menyedari bahawa untuk Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan berjaya, semua rakyat Malaysia termasuk yang menyokong BN dan PR perlu menerimanya. Sebab itu, adalah penting untuk PR menyedari bahawa untuk berjaya, Buku Jingga juga perlu memenangi majoriti hati rakyat termasuk penyokong BN dan mereka yang di atas pagar.

Satu perkara lagi yang saya dapat bezakan antara Buku Jingga dan Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan ialah cara ianya dirancang. Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan dirancang oleh BN setelah mendapat pandangan dan cadangan daripada rakyat melalui beberapa siri interaksi dan perhubungan dengan mereka. Antara lainnya ialah:

· 190,152 respon daripada orang awam melalui SMS
· 20,000 pengunjung bengkel-bengkel awam (public workshop)
· 24,719 respon daripada kajian on-line (on-line polls)
· 900 ahli makmal yang terdiri daripada pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan pakar-pakar industri dan NGO
· 6,213 respon dari orang awam secara bertulis
· dan 26,000 pengunjung Hari Terbuka (open days) PEMANDU mengenai Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan.

Setelah mendengar dan mengambil kira respon dan pandangan orang awam, barulah kerajaan BN membuat “endorsement” terhadap Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan . Buku Jingga pula, sepanjang pengetahuan saya, tidak pernah membuat sebarang percubaan untuk mendapatkan pandangan umum sebelum ianya digubal. Mungkin sebab itulah rakyat kurang merasai potensi Buku Jingga ini.

Selain itu, satu lagi perbezaan ketara antara Buku Jingga dan Program Transformasi Ekonomi dan Kerajaan BN ialah pendekatan masing-masing dalam usaha memacu ekonomi negara. BN meletakkan sektor swasta sebagai “driver” kepada ekonomi negara (Private sector driven - contohnya 92% daripada pelaburan dan perbelanjaan Model Ekonom Baru akan datang daripada sektor swasta) manakala Buku Jingga pula meletakkan kerajaan sebagai driver ekonomi dengan menuntut kerajaan PR untuk berbelanja besar (big government spending!).

Apapun, saya teruskan tulisan ini dengan analisa saya terhadap Buku Jingga. Saya ucapkan terimakasih kepada MOF, EPU dan PEMANDU yang telah banyak memberi pandangan dan input kepada saya.

Buku Jingga boleh dibahagikan kepada dua kategori. Kategori yang pertama ialah 10 janji yang akan diimplementasikan dalam masa 100 hari PKR menjadi kerajaan persekutuan dan kategori kedua ialah 39 janji dibawah tajuk “Dasar Bersama” atau “Common Policy”. Saya akan memberi keutamaan dan menjawab janji-janji berkenaan ekonomi dahulu kerana ianya mempunyai kesan dan implikasi yang besar kepada ekonomi negara. Janji-janji tiada kaitan dengan ekonomi secara langsung akan saya jawab pada posting yang akan datang dalam blog ini.

Buku Jingga menjanjikan beberapa perkara utama yang melibatkan kewangan negara.

Antara lain:

· Pengambilalihan konsesi-konsensi lebuhraya negara
· pemberian RM500 kepada kakitangan kerajaan bermula dengan guru-guru
· menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada rakyat di kawasan bandar dan separa bandar
· meningkatkan pendapatan isirumah kepada tahap minima RM4,000 sebulan
· penghapusan subsidi RM19 billion kepada IPP (Independent Power Producer – Penjana Tenaga Bebas)
· menaikan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Trengganu dan Kelantan kepada 20%


(1) Pengambilalihan konsesi-konsensi lebuhraya negara
– Kos kepada kerajaan RM50 billion

Dasar PR ini mengarahkan kerajaan membuat tawaran pembelian saham-saham 19 syarikat konsesi lebuhraya yang dipegang oleh pelabur swasta. Kos pengambilan 19 lebuhraya melibatkan kos tidak kurang dari RM50 billion. Angka RM50 billion adalah tawaran terbaik buat masa ini kepada pemegang saham swasta oleh sebuah syarikat bernama Asas Serbi Sdn Bhd. Besar kemungkinan pemegang saham swasta tidak akan menerima tawaran kerajaan yang lebih rendah dari RM50 billion.

(2) Meningkatkan pendapatan isirumah kepada tahap minima RM4,000 sebulan
– Kos kepada kerajaan minima RM93.9 billion setahun

Untuk memastikan setiap isirumah mendapat RM4,000 dalam masa lima tahun, pendapatan isirumah mesti berkembang pada kadar 21.7%. Ini adalah satu perkara yang susah direalisasikan buat masa ini. Kalau kita ambil contoh ekonomi yang paling pesat membangun di dunia untuk dibuat perbandingan iaitu ekonomi negara China, pendapatan isirumah mereka hanya berkembang pada tahap lebih kurang 10% sahaja setahun (sumber: National Bureau of Statistics China). Di Thailand dengan ekonomi yang memberangsangkan, kadar ini hanya 6.3% (sumber: National Statistical Office Thailand).

Jika PR gagal mengembangkan pendapatan isirumah pada kadar 21.7% (dan ini mungkin berlaku), PR terpaksa menokok sejumlah wang untuk memastikan janji mereka ditunaikan. Berapakah yang perlu PR belanjakan?

Peratusan isirumah yang berpendapatan RM4,000 kebawah ialah 67.1% (atau 3.8 juta isirumah). Untuk memastikan pendapatan isirumah mencapai RM4,000, secara puratanya PR terpaksa menokok wang tunai sebanyak RM2,045 sebulan setiap isirumah. Ini bermakna untuk setahun jumlah yang akan dibelanjakan oleh kerajaan PR ialah RM93 billion (untuk 3 tahun jumlah itu menjangkau RM279 billion. Untuk 5 tahun jumlahnya ialah RM465 billion).

(3) Pemberian RM500 kepada kakitangan kerajaan bermula dengan guru-guru
– Kos kepada kerajaan RM2.4 billion

Jumlah guru di Malaysia lebih kurang 400,000 orang. Penambahan gaji RM500 seorang akan memakan kos sebanyak RM2.4 billion setahun (RM500 X 400,000 orang X 12 bulan).
Saya berpendapat besar kemungkinan PR tidak akan dapat menolak desakan kakitangan kerajaan yang lain untuk mendapat kenaikan gaji yang sama. Kalau ini berlaku maka kos akan meinngkat kepada RM7.2 billion setahun (RM500 x 1,200,000 orang kakitangan kerajaan X 12 bulan)


(4) Menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada rakyat di kawasan bandar dan separa bandar
– Kos kepada kerajaan RM1.2 billion

Mengikut anggaran syarikat Wireless@KL, untuk membangunkan prasarana dan perkhidmatan Wi-Fi percuma di Kuala Lumpur (luas 244km persegi) sahaja akan memakan belanja RM64 juta (Capex RM50juta, Opex RM14juta). Kalau dikembangkan ke kawasan bandar dan separa bandar di Kangar, Ipoh, Pulau Pinang, Alor Setar, Petaling Jaya, Melaka, Seremban, Johor Bahru, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bahru, Kota Kinabalu dan Kuching, kos yang dianggarkan ialah RM1.2 billion.

(5) Menaikkan bayaran royalti kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20% - Kos kepada kerajaan RM12.5 billion (jika andaian Petronas mengekalkan tahap “retained profits”nya.

Dengan 5 perkara ekonomi diatas sahaja, bajet kerajaan PR akan mengalami defisit yang teruk dan hutang kerajaan PR akan melonjak naik.

Oleh kerana Buku Jingga tidak mempunyai maklumat tentang defisit bajet (peratusan dari KDNK), saya terpaksa menggunakan unjuran peratusan defisit yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam bajet 2011. Jumlah defisit ini bolehlah dikira sebagai “starting point” untuk bajet kerajaan PR jika mereka memerintah Putrajaya.

Defisit bajet untuk setahun pertama ialah:

· Defisit 2011 ialah RM39 billion (5.4% dari KDNK), tambah
· Kos penghapusan tol RM50 billion (6.92% dari KDNK), tambah
· Kos menokok tambah pendapatan isirumah RM93.9 billion (12.99%) dari KDNK), tambah
· Kos naik gaji guru RM2.4 billion (0.33% dari KDNK) tambah
· Kos Wi-FI percuma RM1.2 billion (0.17% dari KDNK) tambah
· Kos tambahan 20% royalti minyak RM12.5 billion (1.73% dari KDNK)

Keseluruhannya defisit bajet PR pada tahun pertama ialah RM199 billion atau 27.54% dari KDNK.

Dengan defisit sebesar itu, kerajaan PR akan berhutang untuk menampung defisit bajet tersebut. Hutang kerajaan PR dianggarkan melonjak kepada RM617.1 billion atau 85.4% dari KDNK. Ini senario tahun pertama PR menjadi kerajaan persekutuan.

Untuk tahun kedua, oleh kerana beberapa perbelanjaan seperti pengambilalihan lebuhraya dan pembinaan prasarana Wi-Fi adalah merupakan perbelanjaan sekali sahaja (one-off), defisit bajet kerajaan PR untuk tahun kedua dijangka turun kepada RM139.3 billion (18% dari KDNK).

Oleh kerana tahun kedua bajet masih lagi defisit, sekali lagi kerajaan PR terpaksa menambah hutang mereka kepada RM783.5 billion (101.3% dari KDNK) untuk menampung defisit bajet untuk tahun kedua.

Maka untuk tahun kedua pemerintahan PR, defisit bajet negara akan melebihi 10% dari KDNK dan hutang kerajaan PR akan melampui 100% dari KDNK. Dengan itu Malaysia akan secara rasminya diistiharkan BANKRAP kerana hutangnya melebihi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK)!

Nota:

(1) Anggaran ini hanya mengambil senario dimana kos pengambilan 19 lebuhraya negara ini ialah RM50 billion. Ada pakar ekonomi yang menjangkakan kos pengambilan ini boleh mencecah RM100 billion.

(2) Anggaran ini juga hanya mengambil senario di mana hanya gaji guru yang diberi tambahan RM500 sebulan. Jika semua kakitangan perkhidmatan awam yang berjumkah 1.2 juta mendesak kerajaan PR untuk memberi mereka jumlah yang sama, tambahan kos ialah RM7.2 billion dan bukannya RM2.4 billion setahun.

Dari Mana PR bercadang menambah pendapatannya?

Saya difahamkan bahawa PR merancang untuk menggunakan “penjimatan” RM19 billion yang dipotong dari subsidi kepada Penaja Kuasa Bebas (IPP) untuk menampung dasar-dasar yang saya sebut diatas (sebenarnya fakta Buku Jingga ini adalah salah. RM19 billion bukanlah semuanya subsidi untuk IPP sahaja).

Jawapan saya ialah penjimatan itu tidak akan dirasai oleh rakyat kerana besar kemungkinan IPP akan memindahkan kos mereka kepada pengguna elektrik dalam bentuk bil elektrik yang tinggi. Kita perlu ingat bahawa sebahagian daripada subsidi RM19 billion itu adalah untuk mengurangkan kos IPP agar kos sebenar elektrik tidak tinggi.

Begitu juga dengan kenyataan Buku Jingga bahawa mereka akan memastikan ketirisan tidak berlaku. Mereka mendakwa mereka boleh menjimatkan ketirisan sebanyak RM28 billion.

Untuk makluman, jumlah RM28 billion tidak ada dalam lapuran Ketua Audit negara. Saya sendiri telah bertanya kepada Tan Sri Amrin Buang, Ketua Audit Negara dan beliau mengesahkan tidak pernah mengatakan ada ketirisan RM28 billion.

Mungkin pakar-pakar ekonomi PR akan mengatakan bahawa ketirisan banyak berlaku seperti dalam PKFZ, Perwaja dan lain-lain lagi. Saya tidak menyangkal fakta itu. Tetapi sebagai pakar ekonomi, sudah tentu mereka tahu bahawa adalah kurang sesuai untuk membuat unjuran pendapatan negara bersandarkan kepada penjimatan yang disebabkan oleh usaha membenteras salahguna kuasa, rasuah atau pembaziran. Jumlah dari pembenterasan salahguna kuasa, rasuah dan pembaziran sepatutnya diklasifikasikan sebagai “bonus” dan bukannya pendapatan. Ini kerana penjimatan dari salahguna kuasa, pembaziran atau rasuah bukanlah satu jumlah yang boleh dianggarkan dengan tepat dan tidak dapat pula dipastikan bila boleh direalisasikan.

Saya menghargai usaha PR yang akan cuba untuk membanteras gejala-gejala jenayah ini tetapi saya tidak dapat bersetuju untuk memasukkan “penjimatan” ini sebagai satu pendapatan negara yang boleh dianggarkan dengan tepat dan seterusnya dibelanjakan. Ini sudah tentu akan membawa kepada masalah besar jika unjuran pendapatan negara, yang disandarkan kepada sesuatu yang susah dikesan dan agak lama untuk diselesaikan (sebagai contoh PKFZ dan Perwaja,) tidak dapat direalisasikan dalam tahun bajet itu dibuat.

Dari analisis di atas, jelas menunjukkan bahawa Buku Jingga adalah satu percubaan yang baik namun jika kerajaan PR melaksanakan janji-janji mereka, ekonomi Malaysia tentunya akan bankrap dalam masa dua tahun pemerintahannya. Kesimpulannya, bagi saya Buku Jingga adalah satu buku yang “over simplistic”, tidak realistik dan tidak berpijak pada bumi yang nyata. Tambahan pulak banyak janji-janji sebelum ini tidak dimasukkan kedalam janji 100 hari itu…. Apa sudah jadi dengan janji jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk kuota orang Sabah dan Sarawak?


Posted in Labels: | 3 comments

PPUBNT berdoa Semoga Ketua Bahagian Yang Dikasihi, Diberi Kekuatan Untuk Menghadapi Saat Sukar Seperti Ini

Posted in Labels: | 4 comments

Status pengambilan tanah Kg Genting , pembohongan kerajaan negeri terserlah!



Kenyataan media oleh Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau mengenai status pengambilan tanah untuk pembinaan IPT di Kg Genting .. mana satu betul , peringkat kajian atau tanah itu sudah diambil menggunakan Seksyen 8 ?

Yang dipertikaikan ialah banyak lagi tanah kosong yang lain di Balik Pulau, mengapa sebahagian dari tanah penduduk di kampung genting yang menjadi mangsa? Begitu juga yang dipertikaikan seksyen 8 memperuntukkan tanah yang diambil untuk kegunaan awam, namun tujuan sebenar pengambilan tanah ini ialah untuk tujuan swasta.

Posted in Labels: | 5 comments

Pilihanraya Pemilihan Ahli Majlis PBT tidak dimaklumkan! Apa agenda tersembunyi LGE?

Pasca PRU12 turut menyaksikan Guan Eng mahukan satu pilihanraya PBT,mengunakan alasan ia akan membantu memindahkan balik kuasa kepada rakyat dan mempertingkat keupayaan pentadbiran PBT sementara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula khuatir yang ia akan membuka laluan bagi politiking yang lebih banyak seperti terbukti dalam sejarah.

Apakah implikasinya?

Jika ia diluluskan maka penguasaan kerajaan negeri pada kerajaan tempatan melalui proksi proksi politik ,dan masyarakat cina dan india akan menguasai PBT di bandar.

Bayangkan berapa banyak PBT yang hanya di kuasai oleh orang melayu di seluruh Selangor dan Pulau Pinang?Berapa ramai melayu yang tinggal di kawasan bandar?Berapa ramai exco berbangsa melayu yang menganggotai exco PBT atas lantikan parti politik?

Adakah anda rela PBT punyai exco tempatan yang dikuasi oleh chauvanist cina dan menjadikan bandar bandar Selangor dan Pulau Pinang sebagai salah satu pusat pentadbiran mereka.

PPUBNT melihat isu dalam konteks negeri Pulau Pinang hampir keseluruhan kerusi exco PBT akan dikuasai oleh bukan melayu.

Usaha secara halus ini secara tidak langsung memudahkan gerak kerja menghambat orang melayu keluar dari bandar,malahan pelbagai implikasi akan timbul seperti bebas mendirikan kuil dan rumah ibadat ditanah milik kerajaan tanpa had.Menghapuskan kuota penduduk bumi di sesuatu kawasan perumahan,memudah milik hartanah dan pemberian lesen hiburan tanpa kawalan.

Implikasi pilihanraya PBT harus dilihat secara mendalam oleh kaum melayu,jangan hanya berkiblatkan parti politik anda menghalalkan cara tanpa memikirkan untung nasib bangsa sendiri.:klik sini

Namun kegusaran ini sudah terlambat apabila pihak kerajaan DAP sudah pun menjalankan pilihanraya PBT,dibuat tanpa pengetahuan umum dan hanya sesetengah pihak saja yang terlibat membuktikan ada agenda yang tersembunyi yang mahu dilaksanakan .

Proses pembuangan undi oleh 300 orang pemilih.

Video di bawah dirakamkan pada 14 Nov 2010 semasa berlangsungnya pemilihan calon PBT di Penang Chinese Girls Alumni Association.



Wakil yang terpilih sebagai ahli majlis MPPP :
» Teo Lee Ken
» Lim Mah Hui
» Chin Khuan Sui
» Loh Swee Heong
» Dalbinder Singh

Wakil yang terpilih sebagai ahli majlis MPSP.

» Tiun Ling Ta
» Sivagurupatham a/l S Vadivelu
» Teng Kim Chew
» Krishnan a/l Samiah

Adakah dengan hanya 300 orang yang mengundi kepada calon masing masing sudah mewakili keseluruhan rakyat Pulau Pinang? Dimanakah suara suara Melayu? Mengapa tidak ada langsung pengumuman atau pun sebaran maklumat mengenai pilihanraya ini kepada keseluruhan rakyat negeri Pulau Pinang,inikah yang dikatakan CAT?

Untuk pengetahuan anda,sejarah 1965 sudah berulang, ketika itu Barisan Sosialis menguasai pentadbiran Majlis Bandar Raya George Town walaupun pentadbiran negeri dikuasai Parti Perikatan.

Seperti biasa,melayu melayu haprak pakatan tidak akan berani bersuara malah langsung tidak akan berani mempersoalkan tindakan Guan Eng,semuanya akan dihalalkan .

Guan Eng lebih banyak mengunakan masanya berpolitiking dan mengaut kekuasaan sepenuh penuhnya,harapan beliau adalah untuk mendapatkan kuasa secara total dari kerajaan negeri hinggalah kepada PBT.

Kesimpulanya mudah, usaha ini dilakukan secara berperingkat,pertama mendapatkan hak autonomi kemudian apabila kesemua perancangan hagemoni berjaya langkah seterusnya adalah memisahkan Pulau Pinang daripada Semenanjung,penyatuan 2 bekas negeri selat yang diperintah oleh DAP dan PAP pasti akan berjaya.

-pisau-

Posted in Labels: | 2 comments

Video Mereka Yang Dipinggirkan di tengah Bandaraya Georgetown



Terletak di celah-celah diantara Kampung Malabar dengan Lebuh Chulia, Penang, kita akan dapat jejaki sebuah penempatan yang tiada nama yang hidup dalam serba kekurangan. Tiada siapa yang pedulikan mereka.

Tonton dan fokus video ini pada minit ke 5:45. Dahulu mereka diambil berat. Kawasan dan sampah mereka diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Sekarang??
Dalam hal ini, Kerajaan Pusat dan Negeri seharusnya sama-sama membantu rakyat yang tinggal di dalam kawsan ini.
Seperti yang mereka pinta, sediakan mereka rumah sewa dan beli menjadi hakmilik. Mereka tak mahu menyewa.

Apa yang Kerajaan Negeri sekarang buat? Dikatanya kerajaan berkebajikan. kalau sekarang lagi teruk dari dulu baik tak payah memerintah. nanti alasan mudah tipikal Pakatan Haram ialah salahkan kerajaan terdahulu.

Posted in Labels: | 2 comments

Kerajaan Zalim DAP tak habis-habis lagi merampas dewan





Kira-kira 150 penduduk serta pemimpin masyarakat sekitar Telok Air Tawar di sini mengadakan perhimpunan secara aman membantah kerajaan DAP Pulau Pinang yang didakwa mahu merampas sembilan buah dewan kegunaan orang ramai di kawasan tersebut.

Mereka yang terdiri daripada penduduk beberapa taman perumahan sekitar sini mengecam tindakan kerajaan negeri yang menghantar notis mengarahkan supaya semua bangunan dewan di kawasan tersebut dikosongkan dalam masa terdekat.

Bangunan terbabit ialah Dewan Panorama, Dewan Orang Ramai Taman Tun Dr. Awang, Taman Sri Pantai, Taman Melati, Taman Robina, Taman Senangan, Kampung Contoh, Dewan Belia Bagan Lebai Tahir dan Dewan Gerakan Daya Wawasan (GDW) Telok Air Tawar.

Menurut mereka, kerajaan negeri tidak mempunyai hak mutlak ke atas dewan berkenaan kerana semuanya dibina menggunakan pembiayaan sepenuhnya Kerajaan Pusat.

Kerajaan negeri sebelum ini sudah mengambil alih tiga buah dewan di kawasan itu untuk kegunaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Negeri (JKKKN) selepas menang dalam pilihan raya umum lalu tetapi penduduk mendakwa ia terbiar tanpa diselenggara.

Seorang penduduk, Abdul Hamid Ahmad, 76, mempersoalkan kenapa dewan-dewan berkenaan mahu diambil alih sedangkan ia sudah diurus dengan baik dan penduduk bebas menggunakannya bagi pelbagai tujuan termasuk penganjuran kelas malam pelajar, tabika, kenduri kahwin serta aktiviti persatuan.

‘‘Kita minta kepada kerajaan negeri, hentikanlah berpolitik berlebihan sampai dewan kegunaan orang ramai pun nak ambil. Kalau ambil alih, rakyat kena bayar sewa, kena isi dan hantar borang, bukankah itu hanya menyusahkan penduduk,” katanya


PPUBNT: Dewan yang sudah diurus tadbir dengan baik dan penuh dengan aktiviti tu biarkanlah, janganlah busuk hati sangat !!

Posted in Labels: | 3 comments

Guan Eng mahu projek landasan dihentikan!


Guan Eng arah henti kerja landasan berkembar, bimbang banjir

Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini mengarahkan MMC Corporation Berhad-Gamuda Berhad (MMC-Gamuda JV) memberhentikan dengan segera kerja projek landasan kereta api berkembar Ipoh ke Padang Besar melibatkan tanah di negeri itu bagi mengelak banjir.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, mesyuarat exco kerajaan negeri pagi tadi membuat keputusan agar kerja projek itu dihentikan sehingga syarat baru yang ditetapkan oleh kerajaan negeri dipenuhi.

Bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata, kerajaan negeri meminta MMC-Gamuda JV bersedia untuk memecahkan apa-apa landasan yang dibina supaya air tidak akan bertakung dan bertanggungjawab untuk menanggung segala kos kewangan akibat banjir.

"Kami berharap MMC-Gamuda JV dapat memberikan satu jaminan bertulis kepada pihak kerajaan negeri untuk memenuhi dua syarat baru yang ditetapkan,” katanya.

Guan Eng berkata, arahan henti kerja itu akan berkuatkuasa dengan serta merta dan wakil daripada MMC-Gamuda JV seharusnya berjumpa dengan wakil kerajaan negeri untuk berbincang tentang syarat baru itu. - Bernama

Ini KM Lim Guan Eng sedang berusaha membuatkan pembinaan landasan berkembar di Pulau Pinang menjadi antara yang mahal dalam sejarah.

Tindakan menyuruh kontraktor memecahkan landasan yang baru dibina adalah BODOH, TIDAK EKONOMIK, MERUGIKAN WANG dan penuh dengan citra politik bolak-balik pembangkang yang sememangnya menghalalkan cara demi matlamat.

Mereka berfikir bahawa jurutera pembinaan adalah bodoh, seperti MB Kedah yang menuduh pembinaan landasan keretapi berkembar menjadi punca banjir di Kedah sehingga MMC Gamuda menjelaskan bukti ianya tidak bersangkut paut.

Pihak kontraktor projek mega seperti ini tidak pernah lalai dari memastikan aliran semulajadi dikekalkan dan berbekalkan peralatan dan perisian canggih, mereka mampu mengadakan laluan air untuk menampung aliran air saat hujan paling lebat sekalipun.

Masalah Pulau Pinang Darul Sampah belum pernah selesai dan Guan Eng masih lagi menutup mata atas sikap rakyat yang memenuhkan parit dan tali air dengan sampah.
Jangan merosakkan harapan sebahagian besar penduduk di utara untuk menikmati perkhidmatan tren elektrik selewat-lewatnya hujung 2013.

Tolak DAP di Pulau Pinang kerana mereka ini memudaratkan rakyat atas topeng kebajikan.

Posted in Labels: | 6 comments

Banglo Mewah Guan Eng



Apa status kediaman rasmi Guan Eng?

PULAU PINANG - Status kediaman rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terus menjadi tanda tanya apabila setelah lebih setahun dibaik pulih, ia masih belum diduduki sehingga kini.

Shabudin Yahaya (BN-Permatang Berangan) membangkitkan perkara itu selepas tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Lim Hock Seng (DAP-Bagan Jermal) pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-12 semalam.
Menurut Shabudin, jawapan bertulis yang diterima menyatakan bahawa rumah tersebut masih dalam pegangan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk rawatan anai-anai dan pembaikan kecil lain.

"Saya tidak faham kenapa selepas lebih setahun rumah itu dibaiki tapi masih lagi dalam pengawasan JKR. Ini bukti pengurusan yang tidak cekap.
"erbelanjaan untuk baik pulih itu juga melibatkan kos yang tinggi," katanya kepada pemberita di DUN di sini malam tadi.
Awal tahun lalu, Guan Eng meninggalkan Seri Teratai dan berpindah ke banglo mewah di No. 25, Jalan Pinhorn di sini atas alasan kediaman rasmi itu mempunyai banyak semut api, anai-anai dan musang.

Kos pengubahsuaian banglo sewa tersebut yang pada asalnya hanya sebuah banglo biasa kepada banglo mewah dikatakan melebihi RM1.5 juta.
Shabudin turut mempersoalkan kenapa perlu ada dua kos yang perlu dibayar iaitu elaun rumah sewa dianggarkan RM6,000 sebulan dan kos baik pulih yang sedang berjalan.
Terdahulu ketika membahaskan usul Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2011, beliau berkata, ia merupakan satu bentuk pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.

"Kalau rasa rumah itu tidak lagi sesuai diduduki, bolehlah diubah untuk kegunaan lain seperti pejabat atau kuarters.
"Kalau ada pertubuhan bukan kerajaan yang berminat, boleh diserahkan untuk dipulihara sebagai bangunan warisan atau pusat operasi mereka," ujarnya

Posted in Labels: | 5 comments

Kerajaan DAP Pulau Pinang diminta menjelaskan tujuan sepucuk surat menyenaraikan kontraktor yang ada hubung kait dengan Umno Pulau Pinang


GEORGE TOWN - Kerajaan DAP Pulau Pinang diminta menjelaskan tujuan sepucuk surat menyenaraikan kontraktor yang ada hubung kait dengan Umno Pulau Pinang dan dihantar kepada semua ketua-ketua jabatan kerajaan negeri.
Shahbudin Yahaya (BN-Permatang Berangan) yang bersama-sama dengan sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang bertindak keluar dewan hari ini, berkata surat bertarikh 27 Oktober dari Pejabat Ketua Menteri itu telah ditanda tangani oleh setiausaha sulit kanannya.

"Sekiranya kerajaan negeri tidak menyenarai hitamkan kontraktor-kontraktor yang ada hubungan dengan Umno ini, mengapa senarai itu dihantar kepada semua ketua-ketua jabatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata untuk kerajaan negeri pimpinan DAP ini menunjukkan mereka betul-betul Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), mereka mesti memberikan projek kepada syarikat yang disenarai dalam surat.

Dalam surat itu, 46 syarikat kontraktor dikesan dan didakwa mempunyai hubung kait dengan Umno.

Sementara itu, Shahbudin berkata salah seorang penyokong demonstrasi mengoncang pintu pagar pada Selasa lalu itu adalah anggota PAS dan bukannya anggota Umno seperti yang dituduh oleh ADUN Seri Delima R.S.N Rayer.

Menurutnya, orang yang bernama Ariff Ibrahim yang mengaku dirinya sebagai anggota PAS telah mengoncang pintu pagar Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ketika demonstrasi minggu lalu.

Beliau berkata Rayer telah mengelar orang yang mengoncang pintu pagar itu sebagai seekor monyet Umno tetapi rupa-rupanya itu adalah anggota PAS.

"Itu bukan monyet Umno, itu monyet PAS kerana Ariff telah mengaku kepada sebuah surat khabar tempatan baru-baru ini bahawa beliau adalah ahli dari parti PAS," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Rayer dapat meminta maaf kepada semua anggota Umno kerana membuat tuduhan palsu.

Sumber : BERNAMA

Posted in Labels: | 1 comments

Penduduk Kg Genting Kecewa LGE bertindak seperti diktator


PULAU PINANG – Penduduk Kampung Genting, Balik Pulau kecewa dengan sikap Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhubung isu pengambilan tanah di kampung mereka untuk dijadikan ‘hab pendidikan’ yang disifatkan tidak peka terhadap kesusahan rakyat.

Kekecewaan penduduk itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2011 pada sidang DUN Ke-12 di sini hari ini.

Pada masa sama, Hilmi mempersoalkan kewajaran Kerajaan DAP Pulau Pinang yang terus berdegil mahu mengambil tanah di Kampung Genting yang dianggap sebuah perkampungan kecil berbanding beberapa tempat lain yang lebih sesuai untuk dijadikan ‘hab pendidikan’ itu.

Malah, Ketua Menteri turut disindir supaya tidak terus mendabik dada dalam usaha mewujudkan ‘hab pendidikan’ di Balik Pulau kerana kerajaan BN sudah berbuat demikian menerusi pembinaan beberapa institusi antaranya Universiti Teknologi Mara (UiTM) di situ.

“Memang menjadi hasrat saya untuk melihat Balik Pulau sebagai ‘hab pendidikan’ dan kita sudah berusaha mewujudkannya, tapi kerajaan BN tidak berbuat begitu dengan sesuka hati sebaliknya memilih tanah yang tidak ada penduduk untuk mendirikan pusat pendidikan.

“Apa yang kita kesal adalah apabila Ketua Menteri tetap berkeras hendak mengambil tanah Kampung Genting yang sangat kecil itu, cubalah fikirkan, orang kampung susah jika tanah diambil, apa lagi yang tinggal untuk mereka, janganlah begitu,” katanya.

Beliau menggesa Guan Eng memikirkan semula perkara tersebut dengan mengambil kira pandangan rakyat sekali gus memilih tempat lain yang lebih luas dan sesuai antaranya di Kuala Sungai Pinang, Air Putih dan Pulau Betong.

Posted in Labels: | 1 comments

Exco PAS Kedah buruk siku terhadap mangsa banjir?

Berdasarkan video ini, bantuan yang disampaikan kepada mangsa banjir di Kedah

telah diambil balik setelah beliau mendapat tahu penerima bantuan tersebut adalah ahli UMNO.

Jika benar seperti apa yang dikatakan dalam video ini, maka seluruh rakyat pastinya berasa kesal diatas apa yang berlaku kerana didalam membantu rakyat yang kesusahan sepatutnya ideologi politik perlu ditolak ketepi.

Video Dari http://panggungopera.blogspot.com/

Posted in Labels: | 1 comments

Kerajaan Negeri Pulau Pinang Yang Tidak Prihatin



Petani kecewa kebun dimusnahkan

KAMALA Devi bersama anaknya, S. Ravi menunjukkan sebahagian daripada hasil tanaman yang didakwa dimusnahkan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang semasa ditemui di Seberang Jaya, semalam.

BUKIT MERTAJAM 4 Nov. - Selama lebih 12 tahun, A. Kamala Devi, 47, menyara keluarganya dengan membanting tulang mengusahakan kebun buah dan sayur-sayuran di atas sebidang tanah rizab di Seberang Jaya di sini.
Melalui hasil tanaman di kebun itu, wanita gigih itu dapat membantu suaminya, N. Sathy, 49, yang bekerja sambilan sebagai kelindan lori untuk membesarkan serta memberi pendidikan kepada dua anaknya yang kini berusia 17 dan 12 tahun.

Bagaimanapun, usaha gigih wanita itu mengusahakan tanah kebunnya selama bertahun-tahun hancur begitu sahaja apabila semua hasil tanamannya seperti pisang, tebu, nangka, mangga, rambutan dan tebu dimusnahkan dalam satu operasi, semalam.
Lebih menyedihkan, operasi atas arahan kerajaan negeri itu dilakukan ketika Kamala Devi dan keluarganya sedang dalam persiapan merayakan Deepavali yang akan disambut esok.
Kamala Devi yang mengusahakan tanaman di atas tanah milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri berkata, dia amat terkejut melihat semua hasil tanamannya musnah ketika datang ke kebun itu petang semalam.

''Ini semua (hasil tanaman) saya anggap seperti anak-anak saya kerana dengannya saya dapat menyara keluarga dan besarkan dua anak tetapi sekarang semua sudah habis (dimusnahkan). Mereka sudah 'membunuh' anak-anak saya.

''Kerajaan negeri tidak fikir langsung nasib keluarga saya. Semua tempahan buah-buahan daripada pelanggan sempena Deepavali tahun ini semua habis dimusnahkan," katanya sebak ketika ditemui bersama Ketua Pemuda MIC negeri, J. Thinagaran di sini hari ini.

Menurut Kamala Devi, sebelum ini dia mendapat kebenaran lisan daripada JPS untuk bercucuk tanam di tanah tersebut yang berkeluasan kira-kira 0.4 hektar dan turut dinasihatkan supaya mendapatkan kebenaran Pejabat Tanah Seberang Perai Tengah (SPT).
Kamala Devi mendakwa, dia juga ada menghantar surat meminta bantuan daripada Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy tetapi tidak mendapat perhatian sewajarnya walaupun sudah tiga kali cuba menemui pemimpin tersebut.

''Pihak JPS tiada halangan kerana tiada apa-apa projek hendak dilakukan dan saya ada mengutus surat untuk dapatkan kebenaran daripada pejabat tanah tetapi sehingga hari ini tiada sebarang jawapan," katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah SPT, Roslan Yahya yang dihubungi menjelaskan, pihaknya sudah mengeluarkan notis meminta supaya Kamala Devi mengosongkan tanah tersebut.

''Tanah tersebut adalah milik JPS dan operasi memusnahkan terpaksa dijalankan kerana keperluan untuk menggunakan tanah tersebut. Ia juga berhampiran Balai Polis Seberang Jaya dan ia ada kaitan dengan soal keselamatan," katanya.
Roslan bagaimanapun tidak menjelaskan tarikh sebenar notis berkenaan dikeluarkan dan tujuan tanah itu ingin dikosongkan kerajaan negeri.

Pengarah JPS negeri, Anuar Yahya yang dihubungi bagaimanapun memberitahu, pihaknya tidak ada keperluan untuk menggunakan tanah tersebut buat masa ini dan tidak tahu menahu mengenai operasi memusnahkan kebun milik Kamala Devi.

''Kebiasaannya, kita akan maklumkan kepada pihak terlibat sekiranya hendak menggunakan tanah milik JPS dan akan mendapatkan nasihat daripada pejabat tanah tetapi dalam kes ini kita sebenarnya tidak ada apa-apa rancangan untuk tanah tersebut," jelasnya


-Utusan

Posted in Labels: | 4 comments

Salam Takziah diucapkan dari PPUBNT diatas kematian Ketua Penerangan Pemuda Bahagian Lipis


KUALA LIPIS 5 Nov. – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Lipis Norshamsul Azman Mokhtar, 36, yang mengikuti Pemuda Pahang berkempen di Galas, meninggal dunia di Hospital Gua Musang petang semalam. Norshamsul Azman meninggal dunia pada pukul 4 petang selepas mengalami muntah darah dan doktor mengesahkan paru-parunya dijangkiti kuman, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Abu Jimi Samat ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, Norsyamsul Azman dari Kampung Chegar Perah di sini ke Galas bersama-sama 30 anggota Pemuda Pahang bagi membantu kempen calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas. "Kali terakhir saya berjumpa Allahyarham ialah sehari sebelum hari pengundian DUN Galas ketika kami keluar beramai-ramai untuk makan di Kesedar Inn, Gua Musang.

"Kami menjaga peti undi berbeza dan jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk dengan urusan berkempen tetapi dia bersungguh-sungguh mengajak keluar pada malam itu walaupun kawasan yang beliau jaga agak jauh dari Kesedar Inn,” katanya yang telah 17 tahun mengenali arwah. Beliau berkata, jenazah Norshamsul Azman selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Batu 8 Jalan Kuantan-Gambang dekat Kuantan pagi ini. – Bernama

AL-FATIHAH SAHABAT....JASAMU TETAP DIKENANG, PERJUANGAN MU AKAN KAMI TERUSKAN DEMI SEMUA YANG TERCINTA....MOGA DIRIMU DITEMPATKAN DISYURGA BERSAMA MEREKA YANG MENEGAKKAN INTIFADA UMNO SELAMANYA....

Posted in Labels: | 1 comments

Tahniah BN! Perjuangan Kita Masih Belum Selesai


Tahniah Kepada Seluruh Jentera Barisan Nasional Ke Atas Kemenangan Dalam Mempertahankan Kerusi Parlimen Batu Sapi Dan Merampas Kembali DUN Galas.
Semoga Calon Yang Menang Dapat Berkhidmat Dengan Cemerlang, Gemilang Dan Terbilang Serta Menerapkan Slogan Y.A.B PM " Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan"
Di Dalam Perkhidmatan... Tahniah...!

Keputusan Penuh Rasmi.

BATU SAPI:
Linda Tsen (BN-PBS) -9,773
Yong Teck Lee (SAPP) -2,031
Ansari Abdullah (PKR) - 3,414
Undi rosak votes - 372
Majoriti - 6,359
Peratus Mengundi : 61%

GALAS :
Aziz Yusof (BN-UMNO -5324
Dr Zulkifli (PAS) - 4134
Undi Rosak - 132
Majoriti:1190
Peratus Mengundi - 83%

Posted in Labels: | 4 comments

Keputusan Terkini Keseluruhan di Galas 9- Belum Rasmi! BN Menang!)


Update 7.40 pm

DUN GALAS

Barisan Nasional - 5177

PAS - 4108
MAJORITI- 1069 UNDI
ALLAHUAKHBAR!!


PARLIMEN BATU SAPI
BN- 5084

PKR-2022

SAPP-1250

Posted in Labels: | 1 comments

Betulkah Pendekatan Guru ini dalam mendidik pelajar Islam??



PASIR MAS, 30 Okt (Bernama) -- Seorang guru di asrama sebuah sekolah menengah di sini didakwa menggunakan seterika panas untuk mengejutkan 11 pelajar yang lewat bangun untuk menunaikan solat Subuh dalam satu kejadian pada 12 Okt lepas.

Dua d...aripada pelajar berkenaan, Muhammad Al-Hakim Mat Nawi, 16, dan adiknya Muhammad Fairuz, 14, mendakwa kejadian berlaku kira-kira 6.15 pagi ketika mereka sedang nyenyak tidur.

Berikutan itu kedua-dua beradik tersebut melecur di bahagian kaki dan lengan menyebabkan keluarga mereka membuat laporan polis pada keesokannya.

Mengulas kejadian itu kepada pemberita di sini, Muhammad Al-Hakim berkata pada kebiasaannya penghuni dormitori itu bangun kira-kira pukul 6 pagi untuk bersiap menunaikan solat Subuh.

"Entah kenapa pada hari itu ramai daripada kami nyenyak sangat tidur dan ketika itu saya terkejut apabila terasa sesuatu yang panas pada bahagian tapak kaki kiri dan selepas tersedar saya tengok cikgu tersebut berdiri sambil memegang seterika panas.

"Ketika itu dalam dom kami ada 14 pelajar tetapi tiga daripadanya telah bangun lebih awal menyebabkan mereka terselamat," katanya.

Adiknya, Muhammad Fairuz mengalami lecur di bahagian lengan kiri akibat terkena seterika panas tersebut.

Muhammad Al-Hakim mendakwa sebelum ini guru tersebut pernah mengejutkan mereka dengan cara merotan, menyimbah air sabun serta menggunakan penyapu yang diletakkan di muka.

Ibu mereka, Siti Fatimah Yusof, 52, berkata dia hanya mengetahui insiden itu pada petang hari kejadian selepas salah seorang saudaranya membawa Muhammad Fairuz pulang ke rumah, menyebabkan dia ke sekolah tersebut dan membawa Muhammad Al-Hakim pulang.

"Saya tidak kisah sekiranya anak saya dihukum atau dilakukan apa sahaja oleh cikgu untuk mengajar tetapi kalau guna seterika panas untuk kejut sembahyang Subuh saya rasa itu bukan cara yang betul," katanya.

Katanya, dia turut ke sekolah tersebut bagi mendapatkan penjelasan daripada pengetua serta guru terbabit, namun mereka bukan saja tidak memohon maaf bahkan pihak sekolah turut mempertahankan tindakan guru berkenaan.

"Saya hanya mahukan keadilan, sekurang-kurangnya guru tersebut meminta maaf atas kejadian tersebut tetapi sebaliknya mereka mempertahankan tindakan tersebut serta memarahi saya dan meminta saya menarik semula laporan polis yang dibuat," katanya.

Katanya, Muhammad Fairuz yang merupakan anak kelapannya kini berada dalam keadaan trauma sehingga kadang kala enggan bercakap dan bertemu sesiapa serta takut untuk ke sekolah selepas peristiwa tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Haliluddin Rahim mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada 13 Okt lepas dan polis telah menahan guru terbabit yang berumur lingkungan 40-an untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

"Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata merbahaya dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebatan," katanya.

-- BERNAMA

Posted in Labels: | 0 comments
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...